Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sekali lagi melampaui batas dan berniat jahat cuba mensabotaj ekonomi negara apabila menggesa institusi dana di Malaysia memboikot cadangan penyenaraian Edra Power Holdings Sdn. Bhd. (Edra) di Bursa Malaysia dengan mengaitkan syarikat berkenaan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam satu kenyataan hari ini berkata, melalui Edra, 1MDB berjaya melengkapkan sasaran untuk melakukan pembaharuan terhadap industri Penjana Kuasa Bebas (IPP) yang perjanjian konsesinya sebelum ini sering dikatakan berat sebelah oleh pembangkang.
Beliau berkata, ironinya perjanjian konsesi berat sebelah itu ditandatangani ketika pentadbiran negara di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini bersama pembangkang.
“Selepas 1MDB menyertai perniagaan IPP, kerajaan telah memulakan tender terbuka pertama bagi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) pada 2012 dan secara konsisten 1MDB menawarkan bidaan paling rendah bagi pembaharuan perjanjian tersebut. Langkah 1MDB itu sekali gus membantu mewujudkan bidaan lebih rendah dalam kalangan pembida yang lain.
“Hasilnya, kebanyakan PPA yang sebelum ini berat sebelah berubah menjadi lebih adil, malah analisis bank pelaburan mengesahkan dalam laporan masing-masing bahawa perjanjian menyebelahi syarikat konsesi bagi IPP hanya tinggal sejarah,” katanya.
Semalam, Rafizi menyeru institusi pelaburan awam dan dana awam terutama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Mara dan semua pelaburan lain untuk memboikot dan menjauhi penyenaraian saham Edra bagi mengelakkan terjebak kali kedua dalam masalah membabitkan 1MDB.
Tegas Abdul Rahman, Rafizi perlu dimaklumkan bahawa penjimatan daripada kadar PPA yang lebih adil kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan subsidi gas Petronas kepada kerajaan itu diunjurkan bernilai hingga RM200 bilion bagi tempoh 20 tahun akan datang.
Katanya, usaha itu dapat dilihat cukup ketara ketika ini berbanding mencatatkan kerugian dan memerlukan bantuan kerajaan seperti yang berlaku pada masa lalu apabila terma dan kadar PPA yang adil melibatkan 40 peratus daripada kos telah menyumbang kepada keuntungan TNB.
“Bil subsidi gas Petronas bagi 2015 pula adalah satu per tiga daripada yang perlu ditanggung pada 2012. Ini adalah penjimatan sebanyak RM10 bilion. Penjimatan besar ini pula dibelanjakan bagi pembangunan dan kebajikan rakyat manakala kerajaan mengekalkan kadar elektrik rendah untuk dinikmati semua.
- Bicara News