Sebagaimana yang kita maklum, kes Adam Rosly yang kini dibicarakan di mahkamah menarik perhatian ramai gara-gara rumah ala ‘Disneyland’ dan kekayaan luar biasanya yang dimiliki meskipun dalam usia muda.
Apatah lagi PKR sebelum ini sering menuduh pemimpin kerajaan mengamalkan rasuah dan melakukan penyelewengan, seolah-olah menggambarkan parti itu ‘suci’ dan ‘berintegriti’ dari sebarang salah laku, maka ramailah yang ‘tersengih’ melihat apa yang berlaku.
Mungkin kerana itu, maka Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa Adam Rosly akan berdepan dengan tindakan disiplin sekiranya terbukti bersalah di mahkamah. Dia memberi alasan konon partinya tidak boleh bertolak ansur dengan kesalahan begitu.
Semalam, seorang lagi Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mahu Adam Rosly ‘bercuti’ dari semua jawatan yang disandangnya dalam parti. Dia mengusulkan supaya PKR mengambil tindakan pada pemimpin AMK itu kerana kes ‘peribadi’nya menjejaskan nama baik parti.
Penulis tertanya-tanya, kenapa Adam Rosly saja yang perlu berdepan dengan tindakan disiplin? Mengapa pula Adam Rosly saja yang perlu ‘bercuti’ gara-gara kes ‘peribadi’nya yang sedang dibicarakan di mahkamah?
Setahu penulis, negara ini mengamalkan prinsip keadilan di mana seseorang itu tidak bersalah selagi tidak diputuskan sebagai bersalah di mahkamah. Malah, jika satu mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah, tertuduh boleh membuat rayuan di mahkamah yang bertaraf lebih tinggi untuk menjadikan dirinya ‘tidak bersalah’.
Lagi pun, kes Adam Rosly masih di fasa awal perbicaraan. Belum tahu lagi dia bersalah atau tidak. Tapi mengapa begitu cepat Nurul Izzah dan Rafizi mahu mengambil tindakan terhadapnya? Adakah PKR kini sedang menjalankan ‘Langkah Ampang’ selepas ‘Langkah Kajang’ gagal?
Kenapa Adam Rosly saja yang perlu diambil tindakan terhadapnya? Sedangkan pemimpin tertinggi PKR yang telah diberi perbicaraan yang adil dan diputuskan sebagai bersalah oleh mahkamah tertinggi negara langsung tidak diambil tindakan disiplin?
Apakah kerana Adam Rosly hanya bertaraf pemimpin bawahan manakala ‘banduan’ itu merupakan suami kepada Presiden dan bapa kepada Naib Presiden? Apakah PKR mengamalkan sikap ‘pilih kasih’? Nampaknya begitulah, bukan?
Jika kes peribadi Adam Rosly dikatakan Rafizi sebagai menjejaskan nama baik parti, bagaimana pula dengan pemimpin PKR yang sudah terbukti bersalah dengan jenayah membabitkan salah laku moral yang sangat memalukan?
Malah, ‘dewata raya’ yang baru kembali bersahabat dengan PKR kini pun pernah menegaskan pemimpin PKR yang kini merengkok di penjara Sungai Buloh itu mempunyai masalah salah laku moral, apakah ia tidak menjejaskan nama baik PKR selama ini?
Kenapa tidak Rafizi usul kepada PKR supaya banduan penjara Sungai Buloh itu ‘dibersarakan’ terus dari PKR? Apakah Rafizi takut pada banduan itu dan tidak takut pada Adam Rosly kerana dia bukan suami kepada pucuk pimpinan PKR?
Bagaimana pula dengan diri Rafizi sendiri? Sudah berapa kali dia telah didapati bersalah di mahkamah? Apakah kesalahan-kesalahan Rafizi itu tidak menjejaskan nama baik PKR? Atau Rafizi juga kini bertaraf ‘maksum’ seperti ‘dewata raya’ parti ‘cap bunga’?
Pada hemat penulis, jika benarlah PKR berpaksikan atas nama keadilan, maka parti itu perlu berlaku adil. Janganlah hanya Adam Rosly sahaja yang diambil tindakan, sebaliknya tindakan perlu diambil tanpa memilih bulu.
Tapi, beranikah Nurul Izzah dan Rafizi ‘sentuh’ banduan itu? Konon berintegriti, suci, telus dan mulus? Orang bodoh bolehlah ditipu hidup-hidup begitu….
-Mykmu