KUALA LUMPUR 10 Mei – Kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seharusnya menjadi pengajaran berguna dan dilihat sebagai titik tolak kepada perubahan buat parti tersebut pada masa hadapan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun kecewa, ahli-ahli UMNO dan BN perlu menerima angin perubahan hasil kehendak rakyat.
Katanya, ahli UMNO dan BN juga perlu sentiasa mempercayai antara satu sama lain, bersatu padu dan komited serta kekal teguh dalam perjuangan demi negara.“Kekalahan ini bukanlah apa yang kita semua mahukan setelah bekerja keras sejak sekian lama dan saya juga minta maaf kerana tidak memenangi PRU-14 untuk berkongsi nilai dan visi kami buat negara.
“Saya percaya kita akan kekal teguh sekiranya bersama-sama, tidak terpisah dan terus bergerak ke hadapan sebagai sebuah parti yang bersatu-padu.
“Lebih penting lagi, anda semua sepatutnya tidak perlu berasa kesal dengan perjuangan kita selama ini. Semoga Allah memberikan kekuatan dan mengurangkan bebanan yang kita hadapi sekali gus muncul lebih kuat lagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin turut berharap kerajaan baharu Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik setelah diberi mandat oleh rakyat.
“Ini merupakan ‘perairan baharu’ yang tidak pernah kita tuju dan Malaysia sememangnya berada di titik perubahan dalam perjalanan yang masih muda tetapi kaya dengan sejarah.
“Atas sebab itu, saya berharap kerajaan baharu yang telah diberi mandat dan tanggungjawab dapat memastikan Malaysia dan rakyatnya untuk terus hidup dalam keadaan aman dan makmur selama-lamanya,” katanya.