Ketika kawasan lain dilimpahi pelbagai pembangunan, Medan Gopeng yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di bawah Parlimen Gopeng tidak melambangkan prestij dan kemajuannya sebagai pintu gerbang masuk ke bandar raya Ipoh.
Apatah lagi pembangkang menguasai Parlimen Gopeng dan tiga DUN di bawahnya, iaitu DUN Sungai Rapat, Simpang Pulai dan Teja maka Medan Gopeng dan DUN Sungai Rapat terpinggir dari pelbagai aspek berbanding kawasan lain di sekitar bandar raya ini.
Malah jika melalui Medan Gopeng, tiada tempat istimewa seperti pusat beli belah mahupun destinasi tarikan yang mampu menggamit orang ramai untuk singgah.
Sedangkan di kawasan lain sudah terbina pusat beli belah antaranya Aeon Mall Ipoh Klebang di Chemor, AEON Big di Falim dan tidak mampu menandingi kemajuan pesat di Meru Raya.
“Sebagai anak jati Sungai Rapat kadang kala malu juga rasanya kerana kawasan lain malah seperti di Kampung Manjoi pun sudah ada pasar raya Mydin.
“Sedangkan kami di Sungai Rapat tiada apa yang boleh dibanggakan,” kata seorang belia dari Sungai Rokam.
Selain isu kemajuan, DUN Sungai Rapat dibelenggu isu lain iaitu peluang pekerja terutama untuk golongan belia.
Peluang pekerjaan begitu terhad di Sungai Rapat. Yang ada hanyalah kilang industri semikonduktor Carsem (M) Sdn. Bhd dan Unisem, selebihnya mungkin hanya kilang-kilang kecil yang tidak berasaskan teknologi tinggi yang menjadi tuntutan pencari kerja hari ini.
Keadaan itu menyebabkan golongan belia di Sungai Rapat terpaksa berhijrah menerokai peluang pekerjaan di tempat lain.
Isu perumahan juga perkara yang dibimbangi golongan beliau di sini bukan sahaja kerana harga rumah yang tidak terjangkau berbanding pendapatan malah tidak banyak rumah kos rendah yang dibina untuk golongan belia.
Kelesuan pembangunan, peluang pekerjaan dan isu perumahan bukan sahaja di Dun Sungai Rapat tetapi keseluruhan kawasan Parlimen Gopeng mungkin berubah jika kawasan itu dikuasai oleh Barisan Nasional (BN).
Jika diberi peluang, BN mampu mengubah wajah Dun Sungai Rapat yang sudah lama lesu.
Sungai Rapat perlukan suntikkan kepimpinan muda yang sudah tentunya agresif, bersemangat, kaya idea dan memahami kehendaki golongan belia.
Sudah sampai masanya kawasan ‘pintu gerbang’ ke bandar raya Ipoh disuntik imej kemodenan dan kemajuan selain memberikan warganya peluang pekerjaan dan pemilikan rumah yang tidak membebankan.
Sama ada mahu terus terpinggir atau bangkit bersama-sama memajukan DUN Sungai Rapat hanya ditentukan oleh 52,616 pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Daripada jumlah itu, 30,903 pengundi atau 58.73 peratus adalah pengundi Melayu, 16,215 (30.82 peratus) Cina, 5,255 (9.99 peratus) India dan lain-lain 243 (0.46 peratus).
JUMLAH PENGUNDI
P071 GOPENG
Jumlah Pengundi: 111,337
Melayu: 49,357 (44.33%)
Cina: 49,621 (44.57%)
India: 9,966 (8.95%)
Lain-lain: 2,393 (2.15%)
N43 Sungai Rapat
Jumlah Pengundi: 52,616
Melayu: 30,903 (58.73%)
Cina: 16,215 (30.82%)
India: 5,255 (9.99 %)
Lain-lain: 243 (0.46%)
N44 Simpang Pulai
Jumlah Pengundi: 34,608
Melayu: 10,166 (29.37%)
Cina: 22,095 (63.84%)
India: 2,218 (6.41%)
Lain-lain: 129 (0.37%)
N45 Teja
Jumlah Pengundi: 24,113
Melayu: 8,288 (34.37%)
Cina: 11,311 (46.91%)
India: 2,493 (10.34%)
Lain-lain: 2,021 (8.38%)
