Pakatan Harapan yang diketuai DAP disifatkan sebagai gabungan rapuh kerana saling menggunakan sesama sendiri untuk kepentingan politik masing-masing.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, situasi tersebut dapat dilihat apabila PKR dan DAP menggunakan Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menarik sokongan pengundi Melayu manakala bekas Perdana Menteri itu turut menggunakan mereka untuk kesinambungan politiknya.
Beliau percaya PKR tidak akan lupa apa yang dilakukan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP juga sudah pasti tidak mahu melihat Malaysia kembali ke era pemerintahan Dr. Mahathir yang pernah ditentang mereka.
“Dr. Mahathir pula bersama Pakatan Harapan kerana ada sebab tersendiri, beliau bukan masuk kerana hendak bela Anwar, beliau tidak masuk kerana hendak bela DAP.
“Jelas mereka menggunakan sesama sendiri untuk agenda politik masing-masing dan situasi itu jauh bezanya dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang terus fokus memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Himpunan Usahawan Sabahat Amanah Iktiar Malaysia (AIM) Parlimen Ketereh di dewan Kolej Matrikulasi di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad; Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Dr. Zubir Harun dan ahli-ahli AIM dari kawasan Parlimen tersebut.
Mengulas lanjut Annuar berkata, sangat berbahaya sekiranya rakyat memberi mandat kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana gabungan tersebut mempunyai agenda lain daripada membela nasib rakyat.
Bagaimanapun, beliau yakin rakyat akan dapat menilai tindak tanduk pemimpin-pemimpin dalam pakatan tersebut.
Sementara itu beliau memberitahu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus merangka dasar-dasar yang bersifat pro rakyat dan mencari pelbagai kaedah bagi membantu mereka.
- UM