DAP akui bimbang apabila pakatan pembangkang dilihat masih tidak sepakat untuk bekerjasama hadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, bagaimanapun berkata beliau yakin perkara itu akan dapat diatasi dan meminta rakyat supaya memberikan mereka masa.
“Saya juga bimbang, (namun) berikan kami sedikit lagi masa. Kami akan menyelesaikannya dan bersedia untuk hadapi PRU ke-14,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan kebimbangan rakyat melihat pakatan pembangkang masih tidak sepakat bekerjasama untuk hadapi PRU akan datang pada majlis menandatangani buku komik kisah hidupnya di sini, petang tadi.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata pada PRU 2008, pihaknya juga kurang bersedia tetapi berjaya menawan lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga kepada Barisan Nasional (BN) buat kali pertama.
“Saya masih optimistik kerana kita bukan melihat kepada tsunami tahun 2008, tetapi tsunami rakyat Malaysia,” katanya.
- Bicara News