Tindakan perlu dikenakan terhadap mana-mana pemimpin bukan beragama Islam yang menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik bagi mengelak perbuatan sama berulang pada masa akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tindakan tersebut khususnya melibatkan pemimpin pembangkang bukan perkara baharu malah sudah berulang kali dilakukan.
Katanya, malah, insiden Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa menggunakan ruang solat di Masjid An Nur di Kampung Melayu Subang seolah-olah seperti tidak menghiraukan sensitiviti umat Islam.
“Ini bukan kali pertama ia berlaku (menggunakan masjid untuk berpolitik) tetapi sudah berulang kali. Kalau kali pertama kali mungkin kita boleh andaikan pemimpin DAP itu tersalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Jasa Mu dikenang bagi meraikan bekas Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha di sini malam tadi.
Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa teramat dukacita dengan tindakan Sivarasa yang memasuki Masjid An Nur dan menggunakan ruang solat sebagai tempat berpolitik pada minggu lalu.
Ekoran daripada itu, JAIS akan menubuhkan satu Jawatankuasa Panel Khas untuk menyiasat insiden tersebut.
- Bicara News