Jika dilihat perkembangan pakatan pembangkang, pakatan ini kini sedang mengalami krisis dalaman dan sering bercanggah pendapat. Namun pakatan ini tidak pernah mengakui, sebaliknya cuba menunjukkan mereka sehaluan dalam apa jua perkara.
Walaupun cuba disembunyikan, tetapi ia sudah jelas. Ini dapat dilihat apabila percakaran dalam kalangan gabungan Pakatan Harapan (PH) mengenai pembahagian kerusi yang belum dimuktamadkan dan keretakan hubungan antara PAS dan PKR.
Bagaimanapun ia merupakan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk terus mengukuhkan kedudukan di peringkat akar umbi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang tidak lama lagi.
Oleh itu, tidak mustahil untuk BN kembali menguasai dua pertiga daripada kerusi Parlimen pada PRU14. Itulah yang disifatkan oleh Ketua UMNO Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
“Dengan keadaan politik hari ini dan perkembangan pembangkang, saya berkeyakinan penuh rakyat akan berfikir lebih terbuka sebagaimana BN tabdir negara dan menjamin kestabilan negara.
“Ini kerana kerajaan BN sudah teruji dan sudah pimpin begitu lama. Apa yang kita lalui adalah pengajaran untuk kita memperbaiki dan menjadi yang terbaik buat rakyat,” kata Syed Ali.
Ini dapat dilihat apabila situasi kukuh yang dicerminkan oleh BN dalam memimpin negara selama lebih 50 tahun membawa kepada kemakmuran kepelbagaian bangsa dan agama di negara ini.
Jika dilihat sistem kepimpinan PH yang cacamarba juga tidak memungkinkan segala yang dikecapi kini kekal kerana perbezaaan pendapat dan ideologi yang terdapat dalam gabungan pembangkang.
“Barisan Nasional memang sudah kukuh dari segi struktur pemimpin, mereka (PH) duduk berbincang pun boleh berubah pendirian masing-masing.
“Apa yang mereka lakukan ini pastinya saya rasa akan berubah pada masa akan datang. Mereka tidak kukuh sebagaimana BN,” kata Syed Ali.
Pada PRU13, BN secara muktamad diumumkan kekal berkuasa oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan majoriti yang berkurang, tidak sebagaimana yang diperolehi sebelum ini.
Bagaimanapun, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najb Razak berjaya merampas kembali negeri Kedah daripada Pakatan Rakyat (PR). BN ketika itu memperoleh 134 kerusi Parlimen berbanding PR, 88 kerusi.
-Utara News