Melihat anak Melayu berpendidikan tinggi dan mempunyai taraf ekonomi yang maju menjadi satu daripada perjuangan utama UMNO yang tiada henti sejak penubuhannya 71 tahun lalu sehingga kini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Prof. Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, keprihatinan UMNO dalam mengangkat anak Melayu dibuktikan dengan wujudnya Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk memberi mereka ruang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, sekali gus mengubah nasib ke arah lebih baik.
“Menerusi UiTM, orang Melayu dapat dibawa keluar daripada kemiskinan dan didedahkan dengan tahap pendidikan tinggi yang mungkin sukar diperoleh sebelum ini berikutan kebanyakan mereka tinggal di luar bandar berbanding kaum Cina.
“Cuba bayangkan jika UMNO tidak wujudkan UiTM, apakah yang akan berlaku pada orang Melayu terutamanya golongan muda yang kita tahu merekalah penyambung legasi pembangunan negara hari ini dan masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau memberi pandangan mengenai perjuangan UMNO dalam memartabatkan pendidikan orang Melayu sempena sambutan ulang tahun ke-71 parti itu pada 11 Mei ini.
Dalam pada itu, Sahol Hamid turut menjelaskan bahawa perkembangan UiTM berdasarkan daripada usul-usul yang dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada setiap tahun dan kesemua usul tersebut dipandang serius bagi memastikan institusi pengajian tersebut terus hidup.
Kata beliau, antara usul yang dibentangkan dan diambil kira secara menyeluruh termasuk langkah menambahkan bilangan pelajar di UiTM di seluruh negara dan perubahan itu boleh dilihat hari ini.
-UM