Pas hari ini tanpa berselindung menyatakan keinginan untuk menerajui pemerintahan di Selangor yang kini di bawah tampuk kuasa PKR selain bercita-cita menawan Kedah, Terengganu, Pahang serta mengekalkan pemerintahan di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada misi yang ditetapkan kepemimpinan tertinggi parti termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di samping penumpuan terhadap 40 kerusi Parlimen yang diyakini mampu dimenangi.
“Saya tak fikir hasrat kami ini akan menimbulkan sebarang masalah terhadap hubungan dengan PKR kerana sebelum ini pun Pas sememangnya menerajui Selangor dengan memenangi 15 kerusi berbanding 13 yang dimenangi PKR pada pilihan raya umum lalu.
“Cumanya kami memberi laluan kepada PKR untuk menjadi Menteri Besar dengan Pas masih bersama mereka mentadbir Selangor,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Ke-58, hari ini.
Ditanya adakah perkataan ‘menerajui’ seperti yang dinyatakannya itu membawa maksud Pas akan mengambil alih kerusi Menteri Besar yang kini disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tuan Ibrahim tidak mengiya atau menafikannya.
“Ini tentang masa depan, kita akan tengok keputusan selepas PRU-14 nanti. Apa pun, kami akan cuba semaksimum mungkin untuk menerajui Selangor kerana memiliki kekuatan di sana,” katanya.
Menjawab soalan sama ada kerjasama bersama PKR akan diteruskan pada PRU-14, beliau berkata, perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Majlis Syura Ulama Pas dan parti akan mematuhi sebarang keputusan yang mengenainya.
“Setakat ini, kami masih berhubungan dengan PKR di seluruh negara kerana Majlis Syura Ulama masih belum membuat keputusan. Kita tengoklah macam mana selepas ini,” katanya.
Mengulas dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam kononnya tindakan Pas berseorangan hanya akan meranapkan impian pembangkang untuk memerintah negara, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu tidak akan berlaku sekiranya Pakatan Harapan diketuai DAP tidak mengganggu kerusi-kerusi ditandingi Pas.
“Pertamanya, mereka perlu sedar bahawa Pas bukan sendiri kerana kami bersama Gagasan Sejahtera yang turut disertai Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan). Keduanya, masih banyak lagi kerusi yang perlu diberi perhatian berbanding kerusi yang mana Pas telah mempunyai kekuatan di situ sejak sekian lama,” katanya.
Dalam pada itu beliau menegaskan, pergolakan yang berlaku sebelum ini membawa nikmat kepada Pas di mana suasana parti menjadi lebih harmoni tanpa ada kekecohan seperti yang berlaku dalam pemilihan parti 2015.
“Lihat saja pemilihan kali ini yang mana tidak berlaku keadaan saling buruk-memburuk antara satu sama lain. Ini adalah nikmat ukhwah yang kita terima selepas berlaku pergolakan seperti itu,” katanya.
-UM