BADAN Bertindak Pemerhati Jenayah, MyWatch mendakwa terdapat sebahagian pegawai dan anggota polis menjadi pembunuh upahan.
Menerusi perkongsian di laman Twitter, MyWatch menyatakan, terdapat seorang polis berpangkat Inspektor serta empat lagi anggota polis terlibat dalam beberapa kes culik dan bunuh beberapa individu sebelum ini.
Selain itu, MyWatch juga mendakwa Inspektor tersebut merupakan pegawai kanan polis yang diupah kongsi gelap untuk melakukan jenayah culik dan pembunuhan kejam bagi pihak mereka.
Twit-twit tersebut juga telah dipautkan kepada akaun Twitter rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu @PDRMsia dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, @KBAAB51.
MyWatch mahu Ketua Polis Negara agar bertindak mendedahkan perkara tersebut.
Dakwaan yang dibuat NGO itu sebenarnya sangat berat dan hanya bersandarkan kepada kata-kata kosong tanpa bukti.
Ia mampu mencalar imej PDRM jika terbukti tidak benar.
Andai sebaliknya, maka wajar sekali untuk PDRM pula yang bertindak segera.
– MYNEWSHUB